MARC SAHKAN PENARAFAN AA+ TERHADAP KORPORAT KREDIT TOP GLOVE

11 April 2022 / 12:04

KUALA LUMPUR 11 April - Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) mengesahkan penarafan korporat kredit Top Glove Corp. Bhd. dengan AA+.

Pada masa sama, Top Glove berjaya mengekalkan penarafan 2021 dengan AA-IS(CG) pada prospek stabil berhubung syarikat tujuan khasnya, TG Excellence Bhd. menerusi Program Perpetual Sukuk Wakalah.

Penarafan yang kukuh itu mencerminkan kedudukannya sebagai pengeluar sarung tangan getah terkemuka dalam pasaran global. 

Ia menyaksikan kumpulan mengekalkan penjanaan aliran tunai dan kedudukan kecairan yang sangat kukuh berbanding tuntutan kewangannya, di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang mencabar.

Malah, MARC mendapati kedudukan imbangan tunai Top Glove adalah mantap, diperkukuhkan lagi dengan kenaikan asas ekuiti kepada RM6.9 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) berbanding RM2.6 bilion pada FY19.

Di samping itu, pelarasan hutang kepada ekuiti (DE) adalah kukuh pada 0.20x dan dalam kedudukan tunai bersih. Struktur modal syarikat juga akan kekal mantap pada masa depan.

Mengulas mengenai penarafan ini, Pengarah Eksekutif Top Glove, Lim Cheong Guan dalam kenyataan hari ini berkata, ia membuktikan keyakinan MARC terhadap prospek jangka panjang syarikat dan keupayaan pasukan kepimpinan.

"Kami amat berbesar hati kerana MARC, penyedia penilaian yang bereputasi tinggi, mengesahkan penarafan kukuhnya untuk Top Glove.

"Ini memberi kami inspirasi untuk terus membina asas yang kukuh yang bertunjangkan Etika Perniagaan Yang Jujur, Integriti dan Ketelusan, di samping mengukuhkan komitmen kami terhadap kemampanan, ke arah mengharungi tempoh mencabar ini dengan cekap dan menyampaikan hasil yang diharapkan oleh pihak berkepentingan," katanya.

Dagang News

More News