TOP GLOVE KURANGKAN KERUGIAN BERSIH KEPADA RM42 JUTA

20 December 2023 / 12:12

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) mencatatkan kerugian bersih lebih rendah RM42 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2023, pengurangan 90 peratus daripada kerugian bersih yang termasuk kemerosotan nilai sebanyak RM392 juta secara sekali pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan kumpulan bagaimanapun menyusut kepada RM493 juta pada suku dikaji berbanding RM632 juta pada suku sama tahun lalu.

Sementara itu, Top Glove mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif sebanyak RM21 juta, menandakan peningkatan sebanyak 320 peratus berbanding suku sebelumnya dan jumlah aliran tunai masuk positif daripada operasi sebanyak RM17 juta.

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan, berkata syarikat berpuas hati dengan peningkatan berterusan dalam keputusan kumpulan dari suku ke suku.

Beliau berkata, prestasi ini adalah bukti keberkesanan langkah-langkah pengoptimuman kualiti dan kos berterusan yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Top Glove.

"Dengan penyambungan semula tempahan sarung tangan, kami percaya ini adalah petunjuk pemulihan pasaran dan berharap untuk mencapai pemulihan berterusan dalam suku-suku akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sementara melangkah ke arah pemulihan, Top Glove akan terus memberikan penekanan terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Katanya, kumpulan berbesar hati kerana telah memperoleh 'EcoVadis Sustainability Bronze Medal', dengan penempatan dalam segmen teratas dalam kalangan syarikat dan industri yang dinilai pada tahun 2023.

"Pengiktirafan ini menekankan keberkesanan sistem pengurusan yang mantap oleh Top Glove dalam memenuhi kriteria kelestarian yang merangkumi impak alam sekitar, buruh dan hak asasi manusia, etika dan perolehan mampan.

"Ia sebagaimana yang digariskan dalam metodologi EcoVadis, penyedia penarafan kelestarian perniagaan terbesar di dunia yang berpangkalan di Paris dengan rangkaian global melebihi 100,000 syarikat yang dinilai," katanya.

Melangkah ke hadapan, Cheong Guan berkata, kumpulan mengekalkan prospek jangka sederhana hingga panjang yang positif terhadap industri sarung tangan, kerana ia adalah barangan penting dengan penggunaan tunggal dalam industri kesihatan, perindustrian dan makanan tanpa pengganti.

Beliau berkata, Top Glove juga optimis bahawa permintaan global untuk sarung tangan akan terus mengalami pertumbuhan tahunan sekitar lapan peratus pada masa akan datang, seiring dengan penggunaan.

Katanya, ia didorong oleh penyambungan semula tempahan sarung tangan pelanggan serta asas industri yang mantap, dan terus diperkuat oleh peningkatan kesedaran kesihatan serta kebersihan pasca pandemik.

"Kami berasa gembira dapat memulakan tahun kewangan baharu 2024 dengan pencapaian yang lebih kukuh.

"Menuju ke masa hadapan, tumpuan kami akan kekal untuk memperkukuhkan perniagaan sarung tangan teras melalui inisiatif peningkatan kualiti dan kos, supaya kami berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan peningkatan prestasi dan mempercepatkan pemulihan," katanya.

Berita Harian

Link: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2023/12/1191052/top-glove-kurangkan-kerugian-bersih-kepada-rm42-juta

More News