KERUGIAN BERSIH DICATAT TOP GLOVE RM926.64 JUTA PADA OGOS 2023

06 October 2023 / 12:10

Top Glove Corporation Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM926.64 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2023 (TK2023) berbanding keuntungan bersih RM225.56 juta pada tahun sebelumnya disebabkan oleh rosot nilai yang berjumlah RM389 juta.

Rosot nilai sekali sahaja itu terdiri daripada aset tidak ketara sebanyak RM138 juta dan hapus kira hartanah, loji dan peralatan sebanyak RM251 juta, lapor Bernama.

Bagaimanapun, Top Glove menekankan bahawa rosot nilai itu tidak menjejaskan aliran tunainya.

Hasil turun mendadak sebanyak 59 peratus kepada RM2.26 bilion daripada RM5.57 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh Suku keempat Tahun Kewangan 2023 (S4 TK2023), Top Glove berkata, kerugian bersih meningkat kepada RM463.15 juta daripada RM62.99 juta pada suku yang sama tahun lepas manakala hasil jatuh kepada RM475.87 juta daripada RM989.94 juta.

Top Glove berkata tanpa rosot nilai tersebut, kerugian selepas cukai kumpulan pada Suku Keempat akan lebih rendah.

“Rosot nilai itu adalah susulan daripada pelaksanaan penyusunan semula operasi dan semakan semula aset menjana pendapatan kumpulan untuk mengukuhkan daya saing kos,” katanya.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, pelunasan (EBITDA) dan aliran tunai operasi kumpulan pada Suku Keempat adalah positif ketika industri sarung tangan mula pulih daripada tempoh ketidakseimbangan permintaan-penawaran.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan berkata pada masa depan, kumpulan itu percaya inventori yang terkumpul semasa tempoh pandemik telah hampir ke paras terendahnya ekoran permintaan sarung tangan rendah dalam tempoh dua tahun lepas.

“Sebaliknya, penggunaan sarung tangan telah meningkatkan pasca pandemik susulan peningkatan tahap kesedaran terhadap kebersihan dan kesihatan.

“Dengan ini, kami percaya permintan sarung tangan akan meningkat secara perlahan-lahan,” katanya.

Agenda Daily

Link: https://www.agendadaily.com/isu-semasa/kerugian-bersih-dicatat-top-glove-rm926-64-juta-pada-ogos-2023/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter

More News