KERUGIAN TOP GLOVE MENGECIL PADA Q3 DIDORONG PENINGKATAN HARGA JUALAN

16 June 2023 / 12:06

KUALA LUMPUR 16 Jun - Top Glove Corp Bhd, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, menyaksikan kerugian bersihnya mengecil kepada RM130.59 juta bagi suku kewangan ketiga berakhir 31 Mei 2023 (3QFY2023), daripada RM164.67 juta untuk 2QFY2023, didorong oleh peningkatan purata harga jualan (ASP) dan langkah pengoptimuman kos yang berterusan.

Perolehan untuk 3QFY2023, bagaimanapun, turun 14.1% suku ke suku (q-o-q) kepada RM530.62 juta, daripada RM618 juta sebelumnya.

Prestasi kumpulan itu adalah lebih lemah berbanding suku tahun lalu, apabila ia memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM15.29 juta untuk 3QFY2022. Hasil turun 64.5% daripada RM1.49 bilion untuk 3QFY2022.

Walaupun menghadapi landskap perniagaan yang mencabar, prestasi operasi kesuluruhan Kumpulan bertambah baik di mana Kerugian Selepas Cukai telah menurun sebanyak 23% daripada suku kewangan sebelumnya, dikaitkan dengan peningkatan ASP sarung tangan sebanyak 6%, serta inisiatif pengoptimuman kualiti dan kos untuk menyelaraskan operasi.

Langkah-langkah yang diambil termasuk penutupan barisan pengeluaran lapuk dan pemberhentian sementara di 17 daripada 49 kilang memandangkan permintaan sarung tangan sedunia yang lebih rendah yang masih dihadapi oleh industri sarung tangan.

Penutupan barisan pengeluaran tersebut telah meredakan kapasiti pengeluaran sebanyak 5 bilion helai sarung tangan, membawa jumlah kapasiti pengeluaran kepada 95 bilion helai sarung tangan. Di samping itu, Kumpulan telah melaksanakan penstrukturan semula tenaga kerja.

Harga bahan mentah untuk 3QFY023 berada di aliran meningkat suku ke suku, dengan purata harga lateks pekat asli meningkat sebanyak 2% kepada RM4.78/kg, manakala purata harga lateks nitril juga meningkat sebanyak 7% kepada USD0.92/kg. Manakala, harga gas tariff mengalami penurunan, berkurangan sebanyak 14% daripada RM67.16/MMBtu ke RM57.74/MMBtu.

 "Kumpulan sedar bahawa menjadi pendahulu dalam kenaikan harga sarung tangan akan memberi kesan kepada Volum Jualan," kata syarikat itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Walaubagaimanapun, disebabkan pengeluar sarung tangan tidak mampu menyerap sepenuhnya kenaikan kos selama-lamanya, ini merupakan langkah yang amat diperlukan untuk kelestarian industri sarung tangan pada jangka panjang, yang telah diikuti oleh pemain pemain industri yang lain.

Melangkah ke arah pemulihan, Kumpulan telah melaksanakan strategi kemunculan semula 6 mata iaitu Pelan Pemulihan Top Glove (T6). Bertujuan untuk 1) mempertingkatkan jumlah jualan, 2) meningkatkan kualiti, 3) menyatukan kemudahan, 4) menambahbaikkan produktiviti kakitangan, 5) menguatkan kedudukan tunai dan 6) mengoptimumkan rantaian bekalan, T6 dijangka mempunyai peranan penting dalam memulihkan semula Kumpulan.

Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, “Walaupun kami berada dalam kedudukan kerugian, ia adalah amat menggalakkan bahawa kuantum kerugian operasi telah menurun daripada suku sebelumnya, timbul daripada peningkatan ASP serta inisiatif rasionalisasi kualiti dan kos kami".

"Berpandukan strategi pemulihan 6 mata kami, kami akan terus mengharungi persekitaran perniagaan yang mencabar dengan meningkatkan pendapatan jualan, menambahbaikkan kualiti, menghapuskan pembaziran, mengoptimumkan peruntukan sumber, memotongkan perbelanjaan dan menyelaraskan proses kami ke arah kecekapan kewangan dan kelestarian yang lebih baik.”

“Walaupun sesuatu keputusan yang sukar, pelaksanaan rasionalisasi tenaga kerja berikutan pemberhentian sementara pengeluaran di beberapa kilang untuk mengurangkan keadaan lebihan bekalan sarung tangan merupakan langkah penting yang perlu diambil, ke arah daya tahan dan daya saing Kumpulan yang berterusan pada jangka panjang. Kami amat menghargai sumbangan semua kakitangan kami.”

Kumpulan teguh dalam komitmennya untuk menegakkan prinsip Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (BHR), yang berperanan mustahak dalam amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan mampan.

Dengan bimbingan daripada Lembaga Pengarah dan sokongan Jawatankuasa Lembaga yang memantaukan inisiatif BHR, ia terus memupuk sedar budaya BHR. Kumpulan juga telah memulakan latihan BHR dan Kebolehkesanan untuk vendor, bagi memastikan keteguhan rantaian bekalannya.

Walaupun persekitaran perniagaan dijangka kekal mencabar dan berdaya saing sepanjang separuh kedua 2023, Kumpulan optimis terhadap prospek jangka panjang kerana sarung tangan masih merupakan barang penting dengan penggunaan tunggal dalam industri kesihatan dan makanan.

Lim kata, “Walaupun sudah ada keadaan lebihan bekalan dan penimbuhan stok sejak 2 tahun yang lalu, juga penting untuk diambil perhatian bahawa kepenggunaan sarung tangan itu masih tidak menurun. Sebaliknya, kepenggunaan sarung tangan telah meningkat pasca pandemik, berikutan peningkatan kesedaran kebersihan dan kesihatan.”

“Memandangkan inventori sarung tangan pelanggan dan industri adalah berhampiran tahap penghabisan, aktiviti penambahan stok dijangka bermula pada masa separuh kedua 2023, lalu merangsangkan peningkatan permintaan sarung tangan. Dengan ini, serta inisiatif pemulihan T6 dan kenaikan ASP, kami berharap dapat melihat peningkatan yang stabil dan masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Dagang News 

Link: https://dagangnews.com/article/kerugian-top-glove-mengecil-pada-q3-didorong-peningkatan-harga-jualan-27484

More News