TOP GLOVE MENANG ANUGERAH READER’S DIGEST

08 June 2023 / 12:06

PETALING JAYA: Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, memenangi  Anugerah Jenama Dipercayai Reader’s Digest Asia 2023.

Top Glove menerima Anugerah Jenama Dipercayai Platinum dalam kategori Sarung Tangan Kebersihan/Pakai Buang.

Ia merupakan kali pertama pembuat sarung tangan itu menerima pengiktirafan tersebut sekali gus membuktikan kedudukan Top Glove sebagai jenama terkemuka dalam industri sarung tangan dalam pasaran Asia.

Top Glove berkata, anugerah itu mencerminkan nilai yang Kumpulan berikan kepada pelanggan.

“Sejak penubuhan kami pada 1991, kami kekal dengan komitmen untuk menghasilkan sarung tangan berkualiti tinggi pada kos rendah.

“Berpegang teguh kepada Hala Tuju Perniagaan itu telah membantu kami menjadi pengeluar terkemuka sarung tangan getah pakai buang,” katanya dalam kenyataan.

Top Glove menghasilkan rangkaian komprehensif sarung tangan nitril, lateks dan CPE/TPE untuk pelbagai kegunaan.

Anugerah tersebut disampaikan kepada jenama terkemuka dan telah dinilai secara unik melalui tinjauan pasaran pengguna yang melibatkan 8,000 pengguna di lima negara Asia Pasifik iaitu Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

Reader’s Digest ialah majalah yang didedikasikan untuk membantu pengguna mengenal pasti jenama di pasaran yang bernilai untuk wang, boleh dipercayai dan layak untuk perniagaan mereka.

Utusan Malaysia

Link: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2023/06/top-glove-menang-anugerah-readers-digest/

More News