TOP GLOVE CERIAKAN 122 KANAK-KANAK KURANG BERNASIB BAIK RASAI PELUANG MENAIKI MOTOSIKAL HARLEY DAVIDSON

20 January 2023 / 12:01

SHAH ALAM 20 Jan - Top Glove menceriakan 122 kanak-kanak dengan menaja program Superkids Ride and Fly anjuran Route 77 Harley Davidson Kuala Lumpur Chapter dan Lions Club of Mid Valley Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bertujuan memberi pengalaman seumur hidup kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan mempunyai penyakit kritikal untuk menaiki motosikal Harley Davidson.

Kanak-kanak yang berusia antara 7 sehingga 17 tahun ini juga diberi peluang untuk menaiki penerbangan yang disewa khas untuk melihat pemandangan Kuala Lumpur. 

Penasihat Yayasan Top Glove dan Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berpuas hati program tersebut dapat menceriakan mereka.

“Program seumpama ini mulia dan bermakna untuk memberi kanak-kanak ini peluang untuk bebas dari kerisauan dan menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Selain menyumbang makanan dan sokongan kewangan, sukarelawan Top Glove juga terlibat sebagai jawatankuasa penganjur untuk menjayakan acara ini” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program ini melibatkan lima rumah kebajikan iaitu Ronald McDonald House, Persatuan Kebajikan Rakan Lutheran Selangor, Promise Home, Wen Hua Home Cheras and House of Joy.

Dana yang dikumpul oleh Yayasan Top Glove digunakan untuk dimanfaatkan untuk projek berkaitan pendidikan, alam sekitar dan masyarakat.

Yayasan ini juga mempunyai program melibatkan masyarakat seperti Lend A Hand iaitu inisiatif bersifatkan bank makanan.

Selain itu, mereka turut membuat sumbangan tilam ke rumah kebajikan dan lawatan ke rumah kebajikan pada musim percutian dan perayaan.

Dagang News

Link: https://www.dagangnews.com/content/top-glove-ceriakan-122-kanak-kanak-kurang-bernasib-baik-rasai-peluang-menaiki-motosikal-harley-davidson-23289

More News