TOP GLOVE CATAT KERUGIAN BERSIH LEBIH KECIL RM40 JUTA

20 March 2024 / 12:03

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd mencatatkan kerugian bersih RM40 juta bagi suku kedua berakhir 29 Februari 2024, lebih rendah berbanding kerugian selepas cukai RM47 juta yang dicatatkan suku sebelumnya.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Prestasi lebih baik itu disokong pendapatan jualan kumpulan berjumlah RM550 juta pada suku dikaji, meningkat 12 peratus daripada RM493 juta pada suku sebelumnya.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan adalah positif pada RM29 juta, meningkat sebanyak 38 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2024, manakala nilai jualannya melonjak sebanyak 18 peratus daripada suku sebelumnya.

Sepanjang suku tahun dikaji, harga susu pekat getah asli meningkat dengan kadar yang jauh lebih cepat, daripada purata RM4.91 sekilogram pada akhir November 2023 kepada RM5.66 sekilogram pada akhir Februari 2024.

Peningkatan mendadak itu menyebabkan ketidakpadanan dengan harga jualan purata (ASP), sekali gus memberi impak kepada margin.

Berdasarkan asas setengah tahun, Top Glove meraih pendapatan jualan separuh pertama tahun kewangan 2024 sebanyak RM1.04 bilion, manakala kerugian selepas cukai menyusut ketara kepada RM87 juta, jatuh sebanyak 72 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, EBITDA separuh pertama tahun kewangan 2024 bertukar positif, meningkat sebanyak 140 peratus kepada RM50 juta tahun ke tahun.

Mengulas mengenainya, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan, berkata prestasi kumpulan yang lebih baik adalah hasil daripada keberkesanan inisiatif strategiknya dalam menguasai semula jualan, penambahbaikan kualiti, kos dan kecekapan, serta daya tahan berhadapan dengan cabaran yang berterusan.

"Ini juga menjadi usaha yang berterusan dari kakitangan kami, yang memainkan peranan penting dalam mendorong pemulihan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Top Glove melihat tanda tanda pemulihan semula pasaran dan percaya bahawa perniagaan kumpulan akan kembali normal dalam masa yang terdekat, bersandarkan asas industri sarung tangan yang kekal kukuh dan tidak berubah.

"Kami menerusi fokus dalam melaksanakan inisiatif strategik untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kos kami, serta menggunakan kekuatan kami untuk memanfaatkan kemunculan peluang baharu.

"Dengan momentum yang wujud sejak beberapa suku tahun lalu, kami yakin dengan keupayaan Top Glove untuk mengekalkan trajektori positif dan mencatatkan keuntungan semula dalam tempoh separuh kedua tahun ini," katanya.

Top Glove mengunjurkan pertumbuhan 18 peratus volum jualan bagi suku dikaji sebagai satu petanda yang menggalakkan, terhadap kemajuan berterusan dan bermakna kumpulan ke arah pemulihan.

Dengan ini, Top Glove berkata kumpulan mengekalkan prospek jangka masa sederhana hingga panjang yang positif terhadap industri sarung tangan, kerana produk itu kekal sebagai barangan penting dengan penggunaan tunggal dalam sektor penjagaan kesihatan, perindustrian serta makanan dan minuman yang tiada pengganti.

"Kumpulan juga optimis bahawa momentum pertumbuhan yang kukuh akan berterusan, berikutan pengisian semula stok sarung tangan pelanggan yang makin berkurangan.

"Selain itu, dengan peningkatan kesedaran kesihatan dan kebersihan pasca pandemik, pertumbuhan permintaan sarung tangan global kira kira lapan peratus setahun dijangka disambung semula, lalu menyerap kapasiti lebihan dalam industri, manakala pengeluar terus menghentikan pengembangan, ke arah memulihkan keseimbangan bekalan dan permintaan," katanya.

Berita Harian

Link: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2024/03/1225828/top-glove-catat-kerugian-bersih-lebih-kecil-rm40-juta

More News