JURUTERA TERSILAP GANTIKAN METER AIR SYABAS, PENGGUNAAN DIBAYAR SEPENUHNYA - TOP GLOVE

30 May 2022 / 12:05

Kuala Lumpur: Top Glove Bhd berkata juruteranya tersilap menggantikan meter air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dengan meter air digital syarikat itu pada 11 April 2019.

 

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun, ia sudah bertindak segera selepas dimaklumkan mengenai perkara itu dengan memasang semula meter air Syabas pada 28 Mei 2019.

 

"Syarikat juga membayar sepenuhnya jumlah berkenaan iaitu kira-kira RM56,000, yang mana RM52,000 adalah anggaran penggunaan selama 47 hari, berdasarkan pengiraan Air Selangor," katanya bagi menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) mengenai perkara itu hari ini.

 

Katanya, beberapa kilang Top Glove berjaya memasang meter air digital untuk memantau penggunaan air dalam masa nyata untuk tujuan pendigitalan dan automasi sistem perakaman.

 

"Syarikat ingin menjelaskan bahawa tindakan itu adalah sebahagian daripada inisiatif pendigitalan dan perkara itu sudah diselesaikan," katanya.

Harian Metro

More News