TOP GLOVE BANTU PEKERJA RANCANG KEWANGAN

24 March 2022 / 12:03

KUALA LUMPUR: Top Glove Corp Bhd mempertingkat Skim Persaraan Swasta (PRS) dengan menjalin kerjasama bersama penyedia perkhidmatan kewangan Manulife Investment Management (M) Bhd, iFAST Capital Sdn Bhd dan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd.

Pengeluar sarung tangan itu dalam satu kenyataan berkata, menerusi skim PRS Manulife, Top Glove akan dapat membuat caruman bagi pekerjanya menerusi platform dalam talian bersepadu iFAST dan akan mempunyai akses kepada rangkaian menyeluruh siri PRS Manulife yang terdiri daripada kedua-dua dana PRS konvensional dan patuh Syariah.

Menurutnya, sebagai majikan pilihan kepada 22,000 tenaga kerja, sebahagian daripada usaha melindungi kesejahteraan pekerjanya adalah dengan memastikan mereka mempunyai persediaan dari segi kewangan semasa bersara kelak.

Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow, berkata peluang bagi pertumbuhan peribadi dan profesional serta ganjaran dan imbuhan kompetitif seperti PRS, adalah kunci bagi menarik dan mengekalkan tenaga kerja.

 

"Kami melihat penawaran PRS, beserta dengan dasar dan inisiatif lain pekerja kami, sebagai sejajar dengan tiga daripada Matlamat Pembangunan Kemampanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), iaitu untuk membasmi kemiskinan di mana-mana sahaja (SDG1), memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan bagi semua peringkat usia (SDG3) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, pekerjaan yang produktif dan baik semua orang (SDG8).

"Selain daripada menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat kepada pekerja, kami juga mahu memastikan pekerja kami memperoleh pendapatan yang baik dan menerusi PRS, meningkatkan simpanan persaraan mereka, yang akan membolehkan mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik dan lebih sihat selepas bersara kelak," katanya.

Syarikat itu memperkenalkan PRS pada 2016 dan setakat ini membuat caruman bersih sebanyak RM12.55 juta kepada skim itu. -BERNAMA

 

Bertia Harian

More News