TOP GLOVE DIJANGKA TINGKAT KADAR PENGGUNAAN BERBANDING KAPASITI PEMBUATAN SARUNG TANGAN

24 January 2022 / 12:01

KUALA LUMPUR 24 Jan - AmInvest Research percaya sasaran jangka pendek Top Glove Corporation (Top Glove) adalah untuk meningkatkan kadar penggunaan berbanding kadar pengembangan kapasiti pembuatan selepas mereka merekodkan kadar penggunaan yang rendah iaitu 55% pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

Kadar penggunaan itu dijangka mencapai 60% selepas ini namun ia masih dilihat rendah berbanding sebelum pandemik iaitu 75% ke 80%.

Pada tahun 2021, Top Glove berjaya mengembangkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 11% kepada 100 bilion sarung tangan dalam tempoh setahun.

"Akibat kadar penggunaan yang rendah, kami percaya tidak akan berlaku masalah kekurangan pekerja asing untuk tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang buat syarikat itu

"Peningkatan kes COVID-19 di peringkat global akibat varian Omicron membuatkan tiada peningkatan di dalam pasaran sebaliknya mereka masih menggunakan sarung tangan yang dihasilkan pada tahun 2021," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

Firma penyelidikan itu berkata, bencana banjir yang melanda negara sebelum ni memberi kesan minimum kepada operasi perkilangan Top Glove.

Katanya, kesemua enam kilang Top Glove di Klang terkesan dengan banjir selama lima hari namun kemudahan penghasilan sarung tangan tidak terjejas dan kemudahan yang terkesan juga dilindungi insurans.

Katanya, Top Gloves dijangka mengumumkan pendapatan suku kedua tahun kewangan 22 (2QFY22) pada separuh pertama Mac 2022 dan kami menjangkakan penurunan pendapatan antara suku ke suku (QoQ), bagaimanapun penyata imbangan dengan kedudukan tunai dijangka stabil.

"Tiada sebarang perubahan jangkaan pendapatan dibuat untuk FY22F, FY23F and FY24F iaitu RM655 juta, RM898 dan RM1.06 bilion," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham Top Glove dengan sasaran harga tidak berubah RM1.95 sesaham.

"Kami percaya bahawa kenaikan harga saham adalah terhad sekiranya berlaku penurunan terhadap penggunaan.

"Bagaimanapun, kelemahan itu juga terhad kerana harga sahamnya kini menghampiri paras sebelum pandemik iaitu RM1.95, yang kali terakhir direkodkan pada 31 Januari 2020," katanya. - DagangNews.com (dagangnews.com)

More News