TOP GLOVE CATAT KERUGIAN BESAR RM158 JUTA

14 December 2022 / 12:12

KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd mencatatkan kerugian bersih RM158 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2022 berbanding keuntungan bersih RM202.4 juta pada suku sama setahun lalu.

Pendapatan bagi suku dikaji adalah sebanyak RM632.5 juta, menyusut hampir 61 peratus daripada RM1.62 bilion yang diraih pada suku sama setahun lalu.

Menurut pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu dalam kenyataan, volum jualan mencatatkan pengurangan kira-kira 48 peratus tahun ke tahun, akibat cabaran yang berterusan.

Katanya, prestasi kewangan yang lemah itu disebabkan oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan sarung tangan yang berterusan, menyaksikan pelanggan menangguhkan aktiviti pesanan semula sambil mengurangkan inventori sarung tangan sedia ada.

"Ini ditambah dengan kekurangan keperluan yang mendesak untuk membuat pesanan memandangkan kapasiti pengeluaran yang berlebihan dalam industri sarung tangan.

"Selain itu, harga jualan purata (ASP) untuk sarung tangan terus diselaraskan sementara kumpulan menghadapi persaingan yang semakin sengit, terutamanya daripada pengeluar sarung tangan serantau, menambah kepada keadaan permintaan sarung tangan yang rendah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Top Glove, kumpulan bagaimanapun menyedari bahawa penurunan dalam ASP sarung tangan semakin perlahan, menunjukkan aliran menurun tidak akan berterusan selamanya.

"Kumpulan juga menjangka untuk memperoleh beberapa manfaat daripada trend penurunan harga bahan mentah, di mana purata harga lateks pekat asli menurun sebanyak tujuh peratus kepada RM4.73 sekilogram dan harga lateks nitril telah menurun sebanyak 49 peratus kepada AS$0.91 sekilogram tahun ke tahun.

"Top Glove yakin prospek jangka panjang bagi industri sarung tangan kekal positif, berikutan peningkatan dalam permintaan sarung tangan sebanyak 10 peratus setiap tahun, didorong oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dan kesedaran kebersihan pasca pandemik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan, berkata syarikat itu beroperasi di tengah-tengah cabaran yang melanda industri sejak enam bulan lalu.

Katanya, pihaknya sudah menjangkakan ini sebagai sebahagian daripada proses normalisasi yang akan mendahului pemulihan kumpulan.

"Untuk mengharungi tempoh mencabar ini, keutamaan segera adalah untuk memastikan kami beroperasi dengan cekap memandangkan penggunaan kapasiti yang lebih rendah, mengekalkan pengurusan kos yang berdisiplin dan menjimatkan wang tunai sebanyak mungkin.

"Seiring itu, kami terus mengamalkan perspektif jangka panjang dan memberi tumpuan kepada kelestarian kakitangan, pelanggan dan prestasi kewangan.

"Kami ingin memuji komitmen dan usaha berterusan pasukan Top Glove dalam menghadapi persekitaran yang tidak kondusif ini, dan yakin bahawa dengan sokongan kakitangan, kami akan dapat mengharungi tempoh sukar ini bersama-sama," katanya.

Berita Harian

More News